Saturday 22 January 2011

TOKOH ISLAM YANG MENGUBAH DUNIA : PART 2 :- ANTARA TOKOH ULAMA



MOHD IDRIS AL-MARBAWI :-
Mohd Idris bin Abdul Rauf Al-Marbawi atau lebih dikenali dengan panggilan Idris Al-Marbawi,seorang ulama terkenal di Nusantara,Mesir dan Mekah. Beliau terkenal dengan kefahaman dalam ilmu bahasa Arab,Ilmu Hadis,Tafsir dan Fikah.

Mohd Idris dilahirkan pada tahun pada tahun 1893 di Mekah. Keluarganya berpindah dan pulang semula ke Malaysia pada tahun 1913. Pada usianya 10 tahun, beliau berjaya menghafal 17 juzuk Quran dan beberapa buah kitab. Ketajaman fikiran beliau membuktikan beliau tergolong dalam kelompok manusia yang cerdik pandai.


PENDIDIKAN :-
Mohd Idris mendapat pendidikan secara formal di Sekolah Melayu Lubuk Merbau,Perak. Beliau juga belajar di beberapa buah sekolah pondok seperti Sekolah Pondok Syeikh Wan Muhammad di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Pondok Tuan Hussain Al-Masudi di Kedah, Pondok Syeikh Ahmad Fatani di Bukit Mertajam dan Pondok Tok Kenali di Kelantan. Ilmu agama yang dipelajarinya itu menjadikan beliau seorang yang faqih dalam ilmu agama.


KERJAYA :-
Selepas Mohd Idris menamatkan pengajian di beberapa buah sekolah pondok itu, beliau ditawarkan bekerja sebagai guru agama di salah sebuah sekolah agama di Perak. Pada waktu itu juga beliau menikahi dengan gadis pilihannya. Kemudian pada tahun 1924, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar di Mesir. Kepandaian beliau terserlah apabila berjaya memperoleh pencapaian tertinggi dari universiti itu.

Semasa berada di Universiti Al-Azhar, Mohd Idris melihat masalah dikalangan pelajar Melayu yang sukar bertutur dan memahami bahasa arab. Beliau mengambil langkah dengan menyusun sebuah kamus Arab-Melayu bersama-sama lima orang rakannya. Namun,pada pertengahan jalan dalam penulisan kamus itu,seorang demi seorang menarik diri.

Penarikan diri oleh rakan-rakannya itu tidak mematahkan semangatnya dalam menerbitkan kamus Arab-Melayu. Berkat kegigihannya,tahun 1927 kamus Arab-Melayu berjaya diterbitkan yang berjudul Qamus Al-Marbawi. Kamus itu mendapat sambutan hangat hingga terbitannya dicetak berpuluh-puluh kali.


SUMBANGAN BIDANG PENULISAN :-
Kejayaannya dalam menghasilkan kamus tersebut adalah batu loncatan bagi dirinya terlibat secara aktif dalam menghasilkan karya-karya ilmiah yang lain. Karya yang memberi sumbangan penting dalam pengajian hadis di Malaysia adalah kitab Bahr Al-Mazi. Kitab ini adalah ringkasan kepada sunan tasawuf,akidah dan muamalat. Kitab ini menggunakan tulisan jawi terbesar dan ia antara kitab terawal diterbitkan dalam kalangan orang Melayu.

Beliau juga menterjemahkan kitab Bulugh Al-Maram. Kitab itu adalah karya asal seorang tokoh hadis yang bernama Ibn Hajar Al-Asqalany. Kitab itu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Selain itu,beliau juga terlibat dalam menghasilkan Tafsir Surah Yasin,Tafsir Al-Quran Al-Marbawi,Tafsir Juz Amma,Tafsir Al-Fatihah,Tafsir Al-Quran Nur Al-Yakin,Terjemahan Tafsir Fath Al-Qadir dan penulisan karya yang bertajuk Quran Bergantung Makna.

Beliau juga menulis dalam bidang fiqah,akidah dan falsafah. Antara karya beliau yang terkenal adalah kitab Nizam Al-Hidayah,kitab Pati Hukum-hukum Ibadah,kitab Usul Islam Pada Membicarakan Mengambil Air Sembahyang,ensiklopedia Kamus Segala Ilmu,Punca Agama,Perbendaharaan Ilmu dan lain-lain.

Sumbangan besarnya dalam bidang agama dan persuratan Arab-Melayu diiktiraf oleh Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau dianugerahkan ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 5 Julai 1980. Kemudian pada 1 Muharam 1408 Hijrah,Syeikh Idris
Al-Marbawi dianugerah gelaran Tokoh Ma'al Hijrah 1408.

Sumbangannya itu menyebabkan namanya dikenang hingga ke hari ini. Nama beliau diabadikan di salah sebuah kolej yang terdapat di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kolej itu diberi nama Kolej Idris Al-Marbawi. Sekolah pertama tempat beliau belajar dahulu juga mengambil sempena namanya iaitu Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi.

Pada 13 Oktober 1989,Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi meninggal dunia pada umur 96tahun di Hospital Besar Ipoh. Jenazahnya dikebumikan di Kampung Lubuk Merbau,Perak.

1 comment:

silat lagenda said...

hope suramsepi dapat masukkn bnyk lg entry mcm ni...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...